Tuesday, November 4

KISAH ANAK YG SOLEH


Assalamualaikum semua.. 
> Satu kisah benar yang menarik dan berguna untuk renungan kita 
bersama. Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Shamsuri dalam salah satu siri-siri 
ceramah beliau mengenai kebajikan anak-anak yang soleh kepada ibu 
mereka yang telah meninggal dunia. Mungkin ada yang telah mendengarnya dan 
sama-samalah kita renungkan sejauh mana kebaktian kita kepada kedua-dua 
ibubapa kita. 

> Kisah menarik ini adalah tentang diri Ustaz Harun Din dan adik 
beradik beliau. Memang telah diketahui umum, bahawa Ustaz Harun Din dan adik 
beradik beliau mempunyai pegangan dan ilmu agama yang tinggi hasil 
didikan ibubapa mereka yang telah berjaya mencernakan roh Islam ke dalam 
diri anak-anak mereka hingga menjadi alim ulama, tempat rujukan umat 
Islam di negara ini, malah di tempat lain juga. 

 
> Diceritakan bahawa, ibu Ustaz Harun telah meninggal dunia semasa 
dalam solat Asar. Sebelum kematian ibu beliau, pada kebiasaannya, ibu 
beliau akan bersembang-sembang dengan jiran selepas solat Asar. Tetapi pada 
hari itu, selepas solat Asar, ibu Ustaz Harun tidak keluar ke beranda 
rumah untuk beramah mesra dan bertanya khabar dengan jiran-jiran. Para 
jiran tertanya-tanya ke manakah gerangan si ibu itu, 
kalau dikatakan pergi ke rumah anak-anak, tidak pula. 
 
> Setelah agak lama dengan ketiadaan si ibu itu, lalu jiran-jiran 
mensyaki sesuatu telah berlaku terhadap ibu Ustaz Harun. Mereka kemudian 
menjenguk ke dalam rumah sambil memberi salam, tetapi tiada jawapan. 
Mereka kemudian memberanikan diri untuk masuk ke dalam rumah dan alangkah 
terperanjat para jiran itu apabila mendapati ibu Ustaz Harun telah pun 
meninggal dunia semasa dalam solat Asar. 
 
> Mereka terus menghubungi anak-anak allahyarhamah. Pada kebiasaannya, 
apabila berlaku satu-satu kematian, di mana-mana pun akan kita dapati 
jenazah itu diuruskan oleh orang-orang kampung atau jamaah masjid, 
jenazah lelaki, oleh jamaah lelaki, manakala jenazah perempuan oleh jamaah 
perempuan. Tetapi berlainan pula dengan jenazah ibu Ustaz Harun Din ini. 
 
> Beliau sendiri beserta dengan adik beradik beliau > (Ustaz Abu Hassan 
Din dan Ustaz Ishak Din) menguruskan jenazah ibu mereka. Dengan penuh 
belaian kasih sayang dan penuh hormat mereka memandikan ibu mereka, 
mengkafankan, serta menunaikan solat jenazah yang diimamkan sendiri 
oleh Ustaz Harun Din. Walaupun diminta oleh orang-orang kampung untuk 
melaksanakan urusan jenazah tersebut, Ustaz Harun dan adik 
beradik mereka dengan penuh sopan mengatakan kepada orang-orang kampung 

bahawa ini adalah ibu mereka yang telah berjasa melahirkan, memberi 
makan minum serta mendidik mereka sehingga menjadi anak-anak yang berguna. 
Oleh itu, sebagai penghormatan yang terakhir dan tanda kasih sayang 
anak-anak terhadap ibu mereka, biarlah mereka sendiri yang menguruskan 
jenazah ibu mereka itu. 

 
> Maka ramailah orang-orang kampung yang mengalirkan airmata mereka, 
mengenangkan tentang kebaikan dan kesolehan anak-anak 
hasil didikan tangan si ibu yang berjaya mendidik anak-anak dengan cahaya iman. 

> Sehinggalah ke saat pengkebumian jenazah, urusan ini ditangani 
sendiri oleh Ustaz Harun adik beradik. Sungguh menarik dan 
mengharukan kisah ini. Tanyalah diri kita sendiri. Bagi yang masih mempunyai ibu dan 
bapa, bagaimana nanti peranan kita semasa jasad ibubapa kita terbujur kaku. 
Adakah kita juga ingin menghulurkan bakti zahir yang terakhir sebagai 
tanda hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita? Ataukah kita hanya 
menyerahkan bulat-bulat urusan itu kepada orang-orang kampung atau jamaah 
masjid untuk menguruskan jenazah mereka, tanpa ingin mengambil peluang 

terakhir untuk berbakti. Inilah bakti zahir yang terakhir yang dapat 
kita lakukan, disamping doa dan amalan-amalan baik kita yang kita 
hadiahkan kepada ibubapa kita. 
 
Bagaimana pula peranan kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak kita 
yang sedang membesar? Bagi yang telah bergelar 
ayah/papa/bapa/walid/baba dan 
ibu/mama/emak/ummi dan sebagainya, bagaimana nanti agaknya perlakuan 
anak-anak kita setelah jasad kita pula terbujur kaku, menanti waktu 
untuk diuruskan pengkebumian? Adakah anak-anak kita akan berebut-rebut 
untuk menguruskan, atau bertempiaran lari kerana takut atau hina memandang 
jenazah kita yang telah kaku? 
 
> Sama-samalah kita renungkan ke arah mana diri kita sebagai anak dan 
juga sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak yang sedang memerlukan 
didikan agama dari kita. Kita berilah didikan agama yang sebaiknya kepada 
anak-anak kita agar menjadi orang-orang yang beriman dan berguna kepada 
agama, bangsa dan negara, seperti contoh yang telah dipertuturkan di atas 
tadi. 
 
> Wallahu'alam. 
 

0 comments: